pantun.jpg (6103 bytes)

 

Salam sejahtera pembuka bicara,
Kepada anda pengunjung setia,
Inilah pantun nasihat dari saya,  
Untuk panduan kita bersama.

Pak Salleh memasang bubu,
Ketika petang cuaca redup,
Kalau tuan ingin tahu,
Ilmu itu penyuluh hidup.

Makan sireh duduk bersila,
Sambil duduk bergurau senda,
Sekiranya ilmu penuh didada,
Hidup tidak gelap gelita.

Mak Munah pergi ke perigi,
Pergi bersama anaknya Siti,
Tuntutlah ilmu setiap hari,
Untuk kesenangan diri sendiri.

Cik Ani menanam bunga,
Bunga ditanam di tepi halaman,
Ilmu itu besar nilainya,
Harta dunia bukan tandingan.

Pak Abu menebar jala,
Jala ditebar di sungai Linggi,
Walau ilmu penuh didada,
Jangan suka menyombong diri.

Adik bermain jauh di sana,
Tangan berikat dengan tali,
Buat baik secara sederhana,
Buat jahat jangan sekali.

Tanam tebu di tepi pagar,
Daunnya kena orang lalu,
Nasihat guru hendak didengar,
Barulah kita selamat selalu.

Kait kelapa dengan galah,
Gelap mata terkena sinar,
Kita takut kerana bersalah,
Kita berani kerana benar.

Ibu ke sungai tangkap ikan,
Hendak digulai dengan  nangka,
Ibubapa jangan disia-siakan,
Berjaya kita kerana mereka.

Nasi dimakan dengan lauk ikan,
Enak rasanya masakan Midah,
Jika kerjasama dapat didirikan,
Segala urusan menjadi mudah.

Ingatlah wahai rakanku,
Hidup ini perlu berilmu,
Hulurkan bakti serta jasamu,
Agar kamu dihormati selalu.

Ilmu itu sangat berguna,
Boleh dibawa ke mana-mana,
Tanpa ilmu gelaplah dunia,
Setiap masa hidup sengsara.

Ingatlah selalu pesanan daku,
Jadikan petua setiap waktu,
Jangan mudah menjadi jemu,
Apabila menerima ajaran guru.

Buatlah baik wahai insan,
Kepada manusia taburkan pesan,
Jangan mudah berhati bosan,
Nanti tidak memberi kesan.

Biar sedikit membuat bakti,
Walau sebesar jarum peniti,
Asalkan tulus niat dihati,
Itulah nama jasa sejati.

Kalau hidup berbuat jasa,
Kepada agama,negara dan bangsa,
Setelah diri hancur binasa,
Bakti juga dikenang sentiasa.

Andainya kamu orang berilmu,
Dipandang mulia setiap waktu,
Rajin berusaha menimba ilmu,
Agar sengsara jauh darimu.

Pergi ke pekan menjual kain,
Kain dijunjung di atas kepala,
Semasa belajar jangan bermain,
Kelak nanti merugikan kita.

Membeli roti di kedai Hajar,
Ambil sekeping disapukan kaya,
Kalau kita rajin belajar,
Sudah tentu akan berjaya.

Ke pekan setapa bersama kawan,
Kerana hendak mengepos surat,
Nasihat ibubapa jangan dilawan,
Tentu selamat dunia dan akhirat.

Dusun buah di suatu kawasan,
Ditanam durian,mangga pulasan,
Siapa rajin tiada bosan,
Mereka kelak mendapat balasan.

Ilmu alat yang berguna,
Menjadi bekalan di mana-mana,
Cahaya mentari bersinar laksana,
Segala hidup akan menjadi bermakna.

Mak Siti ke rumah Rohaya,
Untuk membuat sebiji raga,
Jika kamu mahu berjaya,
Displin diri haruslah dijaga.

Kalau tuan pergi ke pasar,
Belikan saya sekati gula,
Kalau kita rajin belajar,
Apabila besar tidak kecewa.

Ikan senohong si ikan siakap,
Dimasak pula bersama peria,
Beropan-santun apabila bercakap,
Kelak kita dipandang mulia.

Pagi-pagi pergi ke pasar,
Bawa air di dalam cawan,
Jangan suka bercakap besar,
Tiada siapa sudi berkawan.

Kalau ada sumur di ladang,
Bolehkah saya menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Pastikan kita bersua kembali.

Wahai adik-adikku sekalian,
Rajin dan usaha perlu diutamakan,
Berjuanglah dalam segala lapangan,
Buat kebajikan sesama insan.

Bertolak ansur sesama sendiri,
Itulah amalan hidup ini,
Bersatu padu faham memahami,
Budi bahasa pakaian sehari.

Bunga cempaka si bunga raya,
Menyemai benih di rumah kaca,
Kalau kita hendak berjaya,
Perlu kita banyak membaca.

Hang Jebat pahlawan negara,
Menuntut ilmu di Gunung Tahan,
Bak kata pepetah melayu,
Membaca itu kunci kejayaan.

Mari berpantun di Subang Jaya,
Tepi tasik tempat bertandang,
Biar membaca di mana sahaja,
Masa terluang tidak terbuang.

Setiap orang ada kewajipan,
Berat dan ringan perlu ditunaikan,
Kepada agaam,bangsa dan watan,
Dengan semangat penuh keikhlasan.

Pekan kecil terletak di Banjar,
Banyak tumbuh pohon meranti,
Masa kecil hendaklah belajar,
Tidak menyesal kemudian nanti.

Harimau mati meninggalkan belang,
Gajah mati meninggalkan tulang,
Manusia mati nama dikenang,
Bakat disanjung,khidmat cemerlang.

Jangan suka terkinja-kinja,
Kelak orang memandang rendah,
Orang berilmu tidak  bekerja,
Bagai pohon tidak berbuah.

Kalau hendak ke Pulau Daik,
Jangan lupa minyak sebalang,
Kalau kita berhati baik,
Tentu orang bertambah sayang.

Gunung Tahan tinggi ke awan,
Amat terkenal sejak dahulu,
Kepada Tuhan kita pohonkan,
Semoga kita selamat selalu.

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik bagai nak junjung.

Kalau tuan pergi ke Segambut,
Belikan saya ikan kekek,
Cakaplah dengan berlemah lembut,
Gunakanlah bahasa yang baik.

Waktu senja pasang pelita,
Jendela ditutup berserta pintu,
Bantu-membantu sesama kita,
Agar usaha bertambah mutu.

Kalau Ani hendak ke kota,
Jangan lupa membeli laksa,
Waktu sekolah jangan bercinta,
Kelak dirimu akan binasa.

Remaja laksana bunga setangkai,
Mekar mewangi tiada terkulai,
Menara gading kian melambai,
Semoga cita-cita akan tercapai.

Ilmu itu pelita hati,
Wajib dituntut setiap  hari,
Wahai teman marilah berjanji,
Tuntutlah ilmu hingga ke mati.

 

 

 

Heart2.gif (9767 bytes)

Klik here untuk kembali ke puisi